SAFA Umum Empat Pemain Baharu Perkuat Skuad Tambadau

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) secara rasmi mengumumkan kemasukan empat pemain baharu dalam skuad Tambadau bagi menghadapi Liga Super, musim depan.

Empat pemain itu termasuk Hector Omar Ramos, 30, dari Puerto Rico yang kembali menyarung jersi Sabah selepas pernah beraksi pada musim 2018.

Tiga lagi pemain ialah Dennis Buschening, 29, dari Thailand (tengah) yang mengisi slot bagi pemain import Asia Tenggara, bekas pertahanan kebangsaan dan Pahang, Muhammad Zubir Mohd Azmi, 29, serta bekas penjaga gol Terengganu, Wan Muhammad Azraie Wan Teh, 34.

Sabah juga mengekalkan dua pemain import pada saingan Liga Perdana tahun lepas iaitu Park Taesu, 30, dari Korea Selatan (pertahanan) dan Rodoljub Paunovic, 34, dari Serbia (penyerang).

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony berkata, dalam memantapkan saingan pasukan itu dalam Liga Super, tumpuan diberikan untuk menguatkan bahagian pertahanan dan tengah.

Justeru, beliau yakin kemasukan pemain import baharu itu akan menguatkan saingan Sabah dalam Liga Super dengan perlawanan pertama ialah menentang Polis Diraja Malaysia di gelanggang lawan pada 1 Mac nanti.

Selepas lapan tahun, Sabah kembali ke saingan utama Liga Super apabila menjuarai Liga Perdana pada tahun lepas.

Mengenai prasarana Stadium Likas di sini dalam menghadapi Liga Super, Peter berkata hanya pagar keselamatan di beberapa tempat yang dikenal pasti sekitar stadium itu dibaik pulih disebabkan ada yang mudah dibolosi.

Katanya ini bagi memastikan pasukan tuan rumah (Sabah) tidak rugi dari segi pungutan jualan tiket dan mengelakkan ada penonton cedera ketika memanjat pagar.

Beliau berkata prasarana lain antaranya lampu stadium dan padang dalam keadaan baik.

BeritaSabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *