Skuad Tambadau ‘Panaskan Badan’ Di Indonesia

KOTA KINABALU: Selepas Filipina, Sabah bakal menjadikan Indonesia sebagai destinasi pra-musim mereka seterusnya sebelum memulakan saingan Liga Super yang akan berlangsung kira-kira sebulan lagi.

Kehadiran skuad Tambadau di Surabaya itu nanti juga adalah atas jemputan bagi menyertai kejohanan merebut Piala Gabenor Jawa Timur 2020 yang disertai tujuh pasukan lain.

Selain Sabah, turut menyertai kejohanan yang akan bermula pada 10 Februari itu adalah enam pasukan daripada Liga 1 Indonesia dan sebuah pasukan dari Liga Super iaitu Selangor.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony, berkata, pihaknya tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk kejohanan itu kerana apa yang lebih penting adalah membentuk keserasian pemain sebelum memulakan saingan Liga Super.

“Dalam memantapkan pasukan Sabah, faktor keserasian pemain yang dikekalkan dalam skuad Tambadau itu dengan pemain import baharu diberi keutamaan.

“Pasukan Sabah dibawah bimbingan Ketua Jurulatih Baharu Kurniawan Dwi Yulianto tidak menetapkan sasaran pada penyertaan di pertandingan itu dan pada masa sama mengelak pemain dari mengalami kecederaan.

“Ini penting agar persiapan pasukan Sabah pada Liga Super tidak terjejas dan dalam masa sama kombinasi pemain dipertingkatkan,” katanya pada sidang media di pejabat SAFA, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Peter berkata, jumlah pemain yang akan diterbangkan ke Indonesia nanti akan diputuskan oleh ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto.

“Saya juga berharap kejohanan pendek di Indonesia itu nanti akan membantu pasukan dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap kerana saingan kita pada musim baharu nanti bukan alang-alang…ianya Liga Super,” katanya.

Dalam pada itu, Peter turut menjelaskan keputusan untuk membawa skuad Tambadau mengharungi pra-musim di luar negara dalah kerana kurangnya perlawanan persahabatan yang kompetitif di sini.

“Kita sebenarnya ada menghubungi beberapa pasukan di semenanjung untuk mengadakan perlawanan persahabatan selain menjemput mereka datang ke Sabah, namun kebanyakan pasukan sudah ada komitmen atau perancangan lain.

“Oleh sebab itu kita menghantar pasukan ke luar negara untuk mencari perlawanan yang kompetitif kerana ia penting untuk persiapan pasukan,” katanya.

Selepas lapan tahun, Sabah kembali ke saingan utama Liga Super apabila menjuarai Liga Perdana pada tahun lalu.

Mereka akan memulakan saingan bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di gelanggang lawan pada 1 Mac depan.

BeritaSabah

304