KUALA LUMPUR: Pelawak Ilya Buang Shaharum atau lebih dikenali Pak Ya terkilan apabila namanya dikatakan digam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hingga dilarang membuat kemunculan dalam dua episod sitkom Sepahtu Reunion Live 2020 yang bersiaran secara langsung di Royal Teater, Shah Alam sejak 17 Januari lalu.
Pak Ya ketika dihubungi berkata, ketika menerima berita itu ketika sudah berada di Shah Alam untuk memulakan episod pertamanya, namun tidak menyangka pihak produksi memaklumkan perkara terbabit.
“Buat masa ini, saya tidak mahu memberikan sebarang kenyataan kerana pihak produksi sedang dalam perbincangan dengan MBSA supaya saya dibenarkan membuat persembahan di sana.
“Ini satu berita yang amat mengejutkan dan sedih. Saya harap ada berita baik yang bakal disampaikan pihak produksi. Kalau diikutkan esok ada rakaman Sepahtu Reunion Al Puasa, malangnya saya masih tidak boleh membuat persembahan dan difahamkan rakaman itu dibatalkan,” katanya.
Difahamkan, isu itu ada kena-mengena dengan dialog yang dilontarkan semasa bersaing di final Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 baru-baru ini bersama kumpulan Rare yang turut dianggotai Ajak Shiro dan Ropie yang dikatakan menyindir kerajaan.
Menurut Pak Ya, sekiranya pengisian pada malam final MLM 2019 disifatkan sesuatu yang kontroversi, sudah tentu pihak produksi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah mengambil tindakan.
“Setiap kumpulan wajib mempersembahkan pengisian mereka kepada pihak produksi untuk dinilai agar menjaga sensitiviti pelbagai pihak dan kami mendapat lampu hijau.
“Pada malam final itu juga semuanya lepas. Setakat ini kami tidak mendapat sebarang komen negatif daripada pihak MCMC mahupun pihak produksi,” katanya bukan hanya dia seorang dihalang tetapi Ropie juga antara nama yang tidak dibenarkan membuat persembahan di Shah Alam.
Pak Ya berharap isu itu tidak berlarutan kerana dia berulang alik dari Chemor, Perak ke Shah Alam demi kelangsungan hidup.
“Janganlah buat saya begini. Kalau tiada kerja macam mana saya nak sara keluarga dan teruskan kehidupan. Saya sanggup berulang alik dari Chemor ke Shah Alam demi menghiburkan peminat dan kerjaya yang saya cintai ini.
“Saya harap apa yang berlaku ini ada jalan penyelesaian. Rindu sangat nak bersama dengan keluarga Sepahtu Reunion,” katanya.
Terdahulu, rata-rata peminat program itu tertanya-tanya mengenai ketiadaan Pak Ya selama dua minggu program itu bersiaran.
Harian Metro