Tak Mudah Bagi Kerajaan Buat Perubahan – Tun M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghadiri acara rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah melakukan banyak usaha untuk menunaikan janjinya termasuk melaksana perubahan lebih baik kepada negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kerajaan masih berdepan halangan di mana Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara tanpa mandat dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ketiadaan majoriti itu kata beliau menyebabkan banyak cadangan untuk meminda undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan acap kali berdepan halangan dan tentangan pihak tertentu.

“Kita sudah lakukan banyak yang kita janji, berkenaan meminda atau menggugur satu undang-undang yang berkaitan Perlembagaan, perlu persetujuan dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

“Sebab itu kita perlu dapat sokongan parti lawan. Ini tidak mudah. Umpama kita (kerajaan) bersetuju anggap Malaysia ini gabungan tiga wilayah, tapi bila bawa ke Parlimen, Sarawak tidak bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di bangunan pertubuhan itu, di sini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Tun Dr Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau diminta mengulas laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 yang menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga ke-51, tahun lalu, berbanding berada di kedudukan ke-61 pada 2018, selain mencatatkan peningkatan skor sebanyak enam mata kepada 53, berbanding 47.

Menyentuh pemansuhan hukuman mati, Dr Mahathir berkata halangan juga diterima kerajaan memandangkan ada pihak pula menyatakan ketidakadilan hukuman itu digugurkan.

“Kita bukan boleh buat dengan mudah keputusan mansuh hukuman mati mandatori, sekarang berkenaan dadah dan sebagainya. Tapi yang lain kita dapat banyak tentangan.

“Berkenaan undang-undang penubuhan badan polis supaya polis tidak lakukan perkara yang salah juga tidak begitu mudah kerana kalau kita tekan sangat itu, polis tidak dapat berjalan (berfungsi),” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan Malaysia sudah mengisytiharkan moratorium terhadap hukuman mati bagi semua kesalahan jenayah pengedaran dadah sementara kajian komprehensif dijalankan, selaras dengan piawaian antarabangsa yang ditetapkan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *