Leher Tembus Ditusuk Todak

Muh Idul parah tertusuk ikan todak ketika dia memancing di perairan Siompu Buton Selatan, 18 Januari lalu. Gambar Agensi

Doktor di Hospital Wahidin Sudirohusodo, Sulawesi berjaya menyelamatkan seorang remaja yang lehernya tertusuk spesies ikan todak, hari ini.

Beberapa keping foto yang tular menunjukkan remaja dikenali Muh Idul itu tertusuk ikan todak dengan luka agak parah.

Portal makassar.terkini.id melaporkan, ikan itu terbang dan tertusuk di leher Idul ketika dia memancing di perairan Siompu Buton Selatan, 18 Januari lalu.

Idul adalah pelajar Sekolah Menengah Persekutuan Negeri 3 Siompu di Kampung Wakinamboro, Buton Selatan.

Sebelum itu, dia dirawat di Hospital Siloam, Bau-Bau kemudian dirujuk ke Wahidin Sudirohusodo di Makassar.

Hari ini, doktor berjaya mengeluarkan muncung ikan yang menusuk leher dan dan mangsa selamat menjalani pembedahan itu.

“Ya, sudah selamat. Ikannya berjaya dikeluarkan,” kata pasukan sukarelawan Wahdah Islamiyah Buton Selatan, Aljisad kepada portal itu.

Sebelum itu, sukarelawan itu mengumpul dana untuk membantu pembedahan Muh Idul yang kemudian disebarkan ke media sosial.

Beberapa portal di Malaysia juga turut menyebarkan berita itu kononnya berlaku di negara ini. – Agensi

1775