PRK Kimanis: Semua Pusat Mengundi Ditutup, Proses Kiraan Undi Bermula

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 19 saluran dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini. – Foto Astro AWANI

BEAUFORT: Kesemua 19 pusat pengundian melibatkan 68 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis ditutup tepat pukul 5.00 petang setelah dibuka pada jam 7.30 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi setakat jam 4.00 petang sahaja ialah 76.14 peratus yang merupakan sasaran SPR sehingga tamat proses pengundian hari ini.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 19 saluran dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini dan keputusan dijangka diumumkan selewatnya pada pukul 10 malam.

PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Bongawan dan Membakut – dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.

Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *