Karim Hilang Stres Selepas Mengundi

CALON Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis, pagi tadi. – Foto BERNAMA

KIMANIS: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang yang selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis kira-kira jam 9 pagi tadi meluahkan rasa lega selepas dua minggu berkempen.

Ketua WARISAN Bahagian Kimanis itu adalah antara 2,158 pengundi berdaftar di pusat mengundi berkenaan yang mempunyai lima saluran mengundi.

Karim ketika ditemui media di luar pusat mengundi menyifatkan hari ini melegakan beliau selepas kira-kira dua minggu stres berkempen.

“Saya agak kurang stres hari ini selepas berkempen sejak 4 Januari lalu. Alhamdulillah, saya lihat proses pengundian lancar, pengundi jalankan tugas masing-masing, dan cuaca juga cerah, mudah-mudahan berterusan hingga petang.

“Jadi saya merayu pengundi turun awal untuk melaksanakan tanggungjawab supaya proses pengundian lancar dan terhindar daripada kesesakan dan hujan,” katanya.

Karim berkata, beliau akan melawat semua 19 daerah mengundi yang ada di Kimanis ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *