LAHAD DATU: Tiga nelayan selamat, manakala lima lagi dipercayai diculik dalam kejadian di perairan Tambisan, Tungku dekat Lahad Datu.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kapal nelayan hilang pada 1 tengah hari semalam, sebelum menggerakkan aset laut dan udara untuk mengesan semua mangsa.
Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku pada Rabu lalu, namun dilaporkan semalam dengan kelima-lima mangsa dipercayai dibawa lari ke perairan selatan Filipina oleh sekumpulan enam suspek bersenjata.
“Semalam kita jumpa kapal terbabit dengan tiga krew, manakala lima lagi dipercayai diculik.
“Semua mangsa adalah warganegara Indonesia,” katanya, hari ini.
Kapal nelayan itu berdaftar di Sandakan ditemui di perairan Tangusu Bay iaitu lokasi berhampiran kes penculikan sebelum ini.
Sebelum ini, tiga nelayan warga Indonesia, Muhamad Farhan, 27, bapanya, Maharudin Lunani, 48, dan sepupunya, Samiun Maneu, 27, diculik dari perairan Tambisan, Lahad Datu, pada 23 September 2019 ketika menangkap ikan di kawasan berkenaan.
Maharudin dan Samiun diselamatkan tentera Filipina pada 22 Disember 2019.
Muhamad Farhan pula diselamatkan Rabu lalu di perkampungan Barangay, Bato-Bato, Indanan selepas hampir empat bulan berada dalam tahanan kumpulan Abu Sayyaf.