General Iran Beri Penjelasan

Amir Ali Hajizadeh menunjukkan lokasi di peta ketika siaran di Tehran.FOTO AFP PHOTO / HO / IRINN

Pengendali peluru berpandu warga Iran yang menembak jatuh pesawat Ukraine membuat keputusan secara berseorangan kerana sistem komunikasi tergendala, kata komander Pengawal Revolusi Iran pada Sabtu.

Komander aeroangkasa, Brigadier General Amir Ali Hajizadeh berkata, anggota itu membuat kesilapan apabila mengenal pasti pesawat Boeing 737 itu sebagai peluru berpandu dan hanya mempunyai 10 saat untuk membuat keputusan untuk menembak atau tidak.

“Pada beberapa tahap, dilaporkan… peluru berpandu dilancarkan ke arah Iran,” kata Hajizadeh ketika siaran di stesen television negara.

Pesawat Penerbangan Antarabangsa Ukraine itu ditembak jatuh beberapa jam selepas Iran melancarkan peluru berpandu terhadap anggota tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Iraq pada Rabu.

Semua 176 penumpang dan kru terkorban dalam nahas itu.

“Berdasarkan maklumat kepada anggota itu bahawa tahap berperang dan peluru berpandu dilancarkan, dia mengenal pasti pesawat sebagai peluru berpandu.

“Dia sepatutnya berkomunikasi dan mendapatkan pengesahan. Bagaimanapun, sistem komunikasinya tergendala.

“Mungkin akibat alat ‘jamming’ atau rangkaian sibuk atau apa-apa sahaja, dia tidak dapat berhubung,” katanya.

“Dia mempunyai 10 saat untuk membuat keputusan.

“Malangnya, dalam keadaan begitu, dia membuat keputusan yang salah, peluru berpandu dilancarkan dan terkena pesawat sebelum pesawat cuba kembali dan terhempas di sini,” katanya sambil menunjuk lokasi pada peta.

Pengakuan itu dibuat selepas Badan Penerbangan Awam Iran menolak dakwaan bahawa pesawat itu ditembak jatuh sejurus selepas berlepas dari Tehran pada Rabu. – AFP

340