Perang Poster, Bendera Meriahkan Suasana PRK Kimanis

BENDERA parti menghiasi jalan di sepanjang Bengawan ke Membakut.Bendera parti menghiasi jalan di sepanjang Bengawan ke Membakut. – Foto BERNAMA

BONGAWAN: Kaedah kempen konvensional menerusi pemasangan poster calon di tepi jalan, sekitar pekan dan kampung masih menjadi pilihan parti bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Meskipun kaedah kempen baharu menggunakan media sosial semakin meluas bagi mendekati pengundi, pemasangan poster, selain bendera parti dilihat lebih memeriahkan suasana.

Tinjauan di sekitar pekan Bongawan dan Kimanis, di sini, mendapati poster calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin mula menghiasi kawasan tepi jalan dan kaki lima kedai sejak semalam.

Poster terbabit dipasang jentera parti masing-masing pada waktu malam kerana mengambil kira faktor lalu lintas, selain lebih selesa kerana tidak panas, berbanding melakukannya pada waktu siang.

Pekerja parti, Asrul Manambola, 30, berkata pemasangan poster dan bendera parti yang bertanding dapat memeriahkan suasana, selain sebagai makluman bahawa berlaku PRK di kawasan ini.

“Kalau tiada poster dan bendera, orang tidak tahu ada pilihan raya, selain nampak sunyi dan hambar. Jadi, saya rasa kempen melalui poster juga perlu, walaupun kini ada media sosial yang dapat memudahkan kempen,” katanya.

Selain poster yang ditampal di atas papan lapis sebelum dipacak di tepi jalan, penggunaan gegantung juga semakin popular kerana mudah dipasang, selain gambar lebih terang dan menarik berbanding poster kertas biasa.

Pemasangan poster calon dan bendera parti bertanding dijangka bertambah meriah menjelang pusingan kedua kempen yang bermula hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *