Penunggang Motosikal Ditahan Bantu Siasatan, Polis Turut Siasat Anggota JPJ

Insiden melibatkan penunggang motosikal dan pegawai penguatkuasa JPJ yang dirakam dalam video.

LAHAD DATU: Polis menahan penunggang motosikal bagi membantu siasatan berhubung kes dirinya dikasari dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga video kejadian itu tular di media sosial sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, penunggang motosikal berusia 20 tahun itu sudah diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor. Gambar SNT

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya akan menyiasat kes berkenaan secara menyeluruh termasuk siasat dua anggota JPJ yang terbabit dalam kes itu.

Katanya, berdasakan keterangan kes, kejadian itu berlaku ketika anggota JPJ membuat sekatan di Kilometer 23 Jalan Lahad Datu – Sandakan, jam 10.30 pagi semalam.

“Anggota JPJ dengan menggunakan sebuah peronda jenis Toyota Fortuner ke hadapan jalan bagi menjalankan pemeriksaan sebagaimana yang diarahkan oleh pegawai mereka untuk mengawal lalu lintas kenderaan yang berhenti sebelum sekatan.

“Ketika pemeriksaan, sebuah motosikal tiba ke kawasan kawalan lalu lintas dan cuba untuk berhenti tetapi diarahkan oleh anggota JPJ untuk terus ke kawasan sekatan bagi pemeriksaan lanjut.

“Ketika menuju ke sekatan, motosikal ditunggang suspek berpusing balik dan dengan niat untuk melarikan diri dan cuba merempuh dua pegawai JPJ yang sedang mengawal lalu lintas.

“Namun tindakan penunggang gagal apabila tayar motosikalnya bergesel dengan bahagian hadapan kenderaan Toyota Fortuner hingga menyebabkan motosikal menuju ke dalam parit di tepi jalan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ekoran tindakan pemandu enggan berhenti dan semakin agresif bagi melepaskan diri menyebabkan dua anggota JPJ cuba sebaik mungkin untuk menghentikan dengan melompat ke arah motosikal berkenaan dan tidak mengenai suspek.

“Susulan itu, anggota JPJ tergelincir di tepi parit seterusnya berjaya menahan suspek. Dalam proses menahan suspek, dia cuba melawan menyebabkan anggota JPJ menggunakan kekerasan untuk merebahkan suspek.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek gagal menunjukkan lesen memandu dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Nasri berkata, motosikal suspek dirampas untuk siasatan lanjut.

“Polis akan siasat daripada semua aspek kedua-dua pihak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186/323 Kanun Keseksaan dan Seksye 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Terdahulu, sebuah video tular di media sosial berdurasi 45 saat memaparkan dua penguatkuasa JPJ seolah-oleh memukul penunggang motosikal terbabit.

SabahNewsToday

584