TAMBUNAN: Lelaki parah selepas pacuan empat roda dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam lima meter (m) di Kampung Pupulutan, Jalan Tambunan – Keningau, dekat Tambunan, tengah malam tadi.
Pada kejadian 12.45 tengah malam itu, mangsa, Ezron Jowmil, 29, parah di bahagian badan dan kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.51 tengah malam.
Katanya, susulan itu, satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan enam anggota dikerah ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba, bomba mendapati kenderaan dipandu mangsa terbalik selepas terbabas ke gaung.
“Mangsa tersepit di bahagian pemandu dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Bomba memberi rawatan awal sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak perubatan untuk dihantar ke Hospital Tambunan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Desmond, punca kejadian masih dalam siasatan.
“Operasi ditamatkan jam 1.30 pagi,” katanya.