Iran Tawar RM320 Juta Untuk Kepala Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran akan menyerang dengan lebih hebat sekiranya Iran membalas dendam atas pembunuhan pemimpin tentera, Qasem Soleimani.

“Semua kenyataan media ini adalah pemberitahuan kepada Kongres bahawa AS akan bertindak dengan lebih keras jika Iran menyerang sebarang individu atau menjadikan kita sebagai sasaran.

“Notis undang-undang tidak diperlukan tetapi akan diberikan,” katanya menerusi Twitter tengah hari semalam.

Presiden AS itu kemudiannya tidak lagi memberi apa-apa kenyataan kerana sedang menghabiskan cuti musim sejuk dengan bermain golf di West Palm Beach.

Beliau hanya kembali bersuara sejurus pulang ke Mar-a-Lago dan mengecam ahli politik serta pengamal undang-undang yang mengkritiknya kerana tidak memaklumkan kepada Kongres sebelum mengarahkan serangan dibuat ke atas Iran.

Trump mengarahkan serangan udara ke atas lapangan terbang Iraq di Baghdad, sekali gus meragut nyawa Soleimani yang sebelum ini dianggap sebagai pengganas oleh kerajaan pimpinan Barack Obama.

Serangan terbabit berlaku beberapa hari selepas perusuh yang menyokong gerakan militan Syiah menyerbu kedutaan AS di Iraq pada sambutan Ambang Tahun Baharu.

Beberapa ahli politik AS mempersoalkan apakah tindakan itu sudah diluluskan dan berkata, mereka tidak melihat keperluan mencukupi untuk serangan terbabit dilakukan.

Menurut Trump, serangan berkenaan dibuat kerana Soleimani mengarahkan rakyat AS di Asia Barat dijadikan sasaran serangan.

Iran sejak pembunuhan itu mengeluarkan ganjaran berjumlah AS$80 juta (RM328 juta) untuk sesiapa yang dapat membunuh Presiden AS terbabit, malah mengancam untuk menyerang Rumah Putih.

Penganjur majlis pengebumian Soleimani turut menyeru semua rakyat Iran bagi menderma AS$1 (RM4.10) setiap seorang untuk mencukupkan jumlah AS$80 juta itu.

Seruan berkenaan dibuat ketika jenazah Soleimani diarak di Mashad.

Iran turut mengumumkan tidak akan mematuhi sebarang had dikenakan dalam perjanjian nuklear 2015. – Agensi

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *