Lima ‘Kaki Lalok’ Warga Tempatan Ditahan

Foto Ihsan IPD Papar

PAPAR: Lima lelaki ‘kaki lalok’ warga tempatan dicekup polis dalam satu operasi sekitar Pekan Papar, awal pagi, kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu, kesemua individu berusia antara 30-an hingga 40-an didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, operasi dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

“Sepanjang operasi, polis menahan lima lelaki tempatan di beberapa lokasi berasingan sekitar Pekan Papar.

“Kesemua suspek dibawa ke IPD Papar dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, kejayaan tangkapan itu adalah satu usaha polis khususnya IPD Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.

“Di samping itu, ia bertujuan mencegah aktiviti jenayah yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

“Justeru, orang ramai diminta memberikan kerjasama termasuk memaklumkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti membabitkan penyalahgunaan dadah di daerah ini untuk diambil tindakan,” katanya.

1001