Habitat yang sepatutnya menjadi tempat tinggal paling selamat bertukar menjadi tempat kematian paling ngeri bagi hampir 500 juta haiwan yang terkorban dalam kebakaran kira-kira 5 juta hektar hutan Australia.
Di Cudlee Creek, Adelaide Hills, seekor anak kanggaru rentung apabila ia tersangkut pada kawat besi ketika cuba melarikan diri dari api marak.
Nasib tidak menyebelahinya apabila ia akhirnya terkorban dalam keadaan menyayat hati.
Gambar ini mungkin tidak sesuai untuk umum, namun inilah realiti tragis krisis kebakaran hutan di Australia.
Di Cudlee Creek sahaja sebanyak 5,790 haiwan termasuk ternakan, alpaca dan haiwan peliharaan terbunuh.
Para peladang diminta untuk mengambil gambar haiwan ternakan mereka yang cedera atau mati untuk menuntut insuran.
Sebahagian haiwan terbakar yang terselamat juga terpaksa dimatikan untuk menamatkan penderitaan mereka.
Kebakaran belukar di Australia didakwa menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim dan peningkatan suhu dunia.
Sebelum ini, tular klip menyayat hati seekor koala terperangkap di dalam api yang berjaya diselamatkan oleh seorang wanita.
Sementara itu, ribuan penduduk terpaksa berputih mata dan terperangkap di tepi pantai apabila api marak merebak dan turut membakar harta benda mereka.
Sumber: 7News.com.au