Pegawai Polis Maut Kemalangan Di Likas

KOTA KINABALU: Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) maut apabila kereta dipandunya melawan arus lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tun Fuad Stephen, berhadapan Taman Awam Teluk Likas, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, Samuel Anny @ Enih, 46, dari Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kinarut, meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan di Likas. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger iaitu seorang lelaki berusia 19 tahun hanya cedera ringan di bahagian mulut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa yang melawan arus dari arah pusat bandar raya lalu bertembung dengan kenderaan Ford Ranger yang datang dari arah Teluk Likas.

Keadaan kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

“Akibat pertembungan itu mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Likas manakala pemandu Ford Ranger hanya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kenderaan Ford Ranger yang bertembung dengan kereta Perodua Myvi dipandu mangsa. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

Habibi berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HQE I untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. –

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *