Karim Bujang Janji Berjuang Habis-Habisan, Kukuh Perpaduan

MEMBAKUT: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Karim Bujang akan menjadikan nasihat Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai perpaduan parti sebagai pedoman untuk beliau berkempen.

Karim berkata, beliau akan memastikan pejuang lama dan baru di dalam parti terlibat membentuk kerjasama memastikan Warisan mampu memenangi kerusi itu melalui sokongan rakyat pada 18 Januari depan.

“Saya rasa sama ada penyokong asal, penyokong awal atau penyokong baru, kalau diamati ucapan presiden dia tidak membezakan perjuangan awal perjuangan terbaru yang penting kita memperlihatkan satu gerak kerja yang baik di mana perpaduan amat penting untuk meraih sokongan.

“Jadi perkara inilah yang saya lebih berminat daripada menimbulkan isu-isu yang mungkin tidak menguntungkan kepada kami di Warisan, saya mohon juga kepada penyokong Warisan yang mungkin tidak diberi perhatian untuk kembali dan menerima bahawa inilah peluang keemasan untuk mereka memperlihatkan sokongan,” katanya dalam sidang akhbar selepas diumumkan sebagai calon di PRK Kimanis.

Karim sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan sejak tahun 1990 sehingga 2013 sebelum bertanding di Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sementara itu, Karim melahirkan rasa kesyukuran dan mengucapkan terima kasih kepada Mohd. Shafie yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi calon di dalam PRK Kimanis.

Katanya, beliau telah bekerja keras sebelum ini membawa petisyen ke mahkamah demi keadilan, justeru kepercayaan itu adalah satu penghargaan kepadanya.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan berjuang habis-habisan untuk memastikan kemenangan kepada Warisan dan tidak mahu mengecewakan pimpinan serta ahli Warisan.

Karim berkata, sebagai pemimpin berpengalaman, beliau tahu masih banyak yang perlu dilakukan di Kimanis, justeru beliau berjanji jika rakyat memberikan sokongan, perjuangan untuk membangunkan Kimanis akan diteruskan.

“Kita mempunyai waktu dekat tiga tahun sebelum pilihan raya umum akan datang jadi saya yakin dalam masa tiga tahun itu banyak program, banyak idea yang boleh kita laksanakan untuk membantu penduduk di kawasan Parlimen Kimanis.

“Masalah rakyat, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut kadang-kadang lebih besar berbanding kawasan lain, kita masih ramai penduduk di luar bandar kemudahan infrastruktur, jalan raya, talian elektrik dan juga perhubungan sekolah semua ini masih memerlukan perhatian yang serius,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *