TUN Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Saifuddin Abdullah antara calon yang sesuai sebagai Menteri Pendidikan baharu menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan berkuat kuasa hari ini.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, sebaik Pakatan Harapan (PH) diumum memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14, Dr Mahathir pernah menawarkan diri untuk mengambil alih portfolio pendidikan.
“Bagaimanapun, Dr Mahathir menerima kritikan berikutan ia bercanggah dengan manifesto PH iaitu perdana menteri tidak dibenarkan memegang portfolio lain semasa menjalankan tugas, terutama sebagai menteri kewangan.
“Sebelum menjadi perdana menteri beliau juga pernah menjadi menteri pendidikan iaitu antara 1974 dan 1977,” katanya.
Dr Sivamurugan berkata, sekiranya prinsip PH itu diubah kemungkinan besar Dr Mahathir calon sesuai.
“Saya beranggapan Dr Mahathir calon sesuai, tetapi perlu dilihat adakah mereka masih memegang prinsip PH yang perdana menteri tidak boleh memegang jawatan lain,” katanya.
Menurutnya, dia yakin Dr Mahathir akan meletakkan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Calon lain yang sesuai mungkin Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ahli Bersatu Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi menggantikan Dr Maszlee.
“Muhyiddin pernah menjadi menteri pendidikan di zaman pemerintahan terdahulu, begitu juga Tok Pa (Datuk Mustapa Mohamed).
“Malah tidak mustahil juga Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah juga antara calon baru kerana pernah memegang portfolio jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,” katanya.
Katanya, dia tidak pasti sama ada Dr Mahathir mahu mengambil calon dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat sedia ada atau melantik senator dalam bidang pendidikan.
“Portfolio Menteri Pendidikan adalah cabang besar dalam kabinet sesebuah kerajaan dan struktur tabir urus negara. Agak sukar membuat ramalan yang tepat mengenai siapa calon baharu menteri pendidikan kerana ia membabitkan percaturan politik namun saya difahamkan satu rombakan Kabinet besar-besaran akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.
Dr Sivamurugan berkata, tidak mustahil juga antara percaturan baru kerajaan sekarang adalah menteri besar akan dibawa ke peringkat pusat contohnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Sekiranya ada lagi anggota Kabinet lain melepaskan jawatan mereka, mungkin kita akan melihat rombakan lebih besar kerana ini antara perjalanan politik PH yang dinanti rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Sumber: Harian Metro