NEW DELHI: Sekumpulan lelaki yang bertindak kejam memotong hidung seorang gadis dari kasta Dalit selepas gagal menculik mangsa dari rumah keluarganya di Chakkarpur, dekat Gurugram di Haryana, India.
Mangsa dikenali sebagai Poonam Kumari, berada di rumahnya apabila lima lelaki iaitu Gaurav Yadav, Aakash Yadav, Satish Yadav, Monu Yadav dan Leelu Yadav masuk ke dalam rumahnya dengan niat mahu menculiknya.
Gulf News melaporkan, adik beradik Poonam cuba menggagalkan usaha mereka. Apabila tidak dapat mengheret gadis itu keluar, mereka mengugut dan menggertak keluarga itu.
Gaurav dan Aakash terus menyerang gadis itu dengan senjata tajam lalu memotong sebahagian hidung mangsa.
“Mereka adalah orang-orang kuat di sini malah sering bertengkar dengan penduduk kampung dan memaksa penduduk untuk menarik balik kes atau tidak melaporkannya kepada polis.
“Perkara yang sama menimpa kami menyebabkan kami dalam ketakutan,” kata abang mangsa, Diveen Dayal yang membuat aduan polis terhadap mereka di balai polis sektor 29.
Menurut Dayal, sewaktu lima ke enam orang masuk ke rumahnya, sekurang-kurangnya 15 hingga 20 yang lain berada di luar rumah dan mengancam jiran sekeliling agar tidak masuk campur dalam serangan itu yang berlangsung lebih 10 minit.
Pegawai polis, Arvind Kumar dari balai polis sektor 29 berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian berkenaan dan menahan suspek menurut seksyen yang diperuntukkan. – Agensi