PAS Turunkan Lebih 1,000 Jentera Ke PRK Kimanis

Aminuddin (dua kiri) bersama barisan pimpinan tertinggi PAS Sabah dalam sidang media, di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Biarpun pembabitannya tidak disebut oleh kepimpinan UMNO, namun PAS Sabah akan berpegang kepada Muafakat Nasional bagi membantu memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, mereka akan menggerakkan lebih 1,000 orang jentera PAS sepanjang kempen pilihan raya itu berlangsung.

Beliau berkata, memandangkan Kimanis mempunyai lebih 70 peratus pengundi muslim, beliau meletak harapan tinggi agar majoriti muslim itu akan berpihak kepada UMNO dan Muafakat Nasional.

Mengenai fokus PAS dalam PRK Kimanis, Aminuddin berkata, isu permuafakatan antara pendekatan yang akan digunakan oleh PAS dalam mendekati rakyat di Kimanis.

”Bila sebut tentang muafakat, ia sendiri satu kekuatan dan kita mahu permuafakatan itu dibawa ke Sabah agar boleh mendapat kemenangan dan perpaduan nasional,” katanya dalam sidang akhbar sempena PRK Parlimen Kimanis, di sini hari ini.

Beliau berkata, strategi yang akan digunakan dalam PRK Kimanis bergantung kepada manifesto calon, namun antara perkara yang diberi keutamaan oleh PAS adalah Muafakat Nasional.

Tambahnya, untuk pengundi bukan Islam, PAS akan turun bersama-sama pemimpin bukan Islam dalam PAS Sabah untuk bersama-sama mendekati masyarakat bukan Islam di Kimanis.

Aminuddin berkata, PAS Sabah akan turut dibantu oleh pemimpin dan ahli-ahli parti dari Semenanjung Malaysia.

Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS dimeterai pada 14 September 2019 bagi membentuk kerjasama serta mengembangkan naratif Islam dan Melayu.

Muafakat Nasional itu antara lain bertujuan untuk memperkasa agenda Islam, Melayu dan bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangun watan yang sejahtera serta membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

BorneoToday

1095