IPD Papar Terus Gempur Sarang Dadah

Lelaki bersama dadah jenis syabu dalam serbuan di Skim Penempatan Kinarut.

PAPAR: Polis menahan seorang lelaki bersama dadah jenis syabu dalam serbuan di Skim Penempatan Kinarut, di sini semalam.

Serbuan kira-kira jam 4 petang itu membabitkan Pasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar yang melakukan operasi di lokasi berkenaan yang dikenalpasti antara sarang dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit, berkata suspek yang berusia 26 tahun ditahan untuk pemeriksaan lanjut selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan di kampung berkenaan.

Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, pemeriksaan dijalankan terhadap suspek berjaya menemui bungkusan dadah disyaki syabu seberat 0.90 gram dalam pemilikannya.

“Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Papar untuk soal siasat. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Batholomew berkata, kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *