Pasangan Kekasih Samun Guru Ditahan

Habibi (tengah) menunjukkan foto kecederaan mangsa yang menerima 11 jahitan selepas disamun oleh sepasang kekasih dan seorang lelaki di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pasangan kekasih warga tempatan antara dua individu ditahan kerana melakukan jenayah samun berkawan tanpa senjata ke atas seorang guru lelaki sekolah Indonesia di bandar raya ini.

Dalam kejadian pada pukul 8.23 pagi pada 21 Disember lalu, mangsa yang juga guru di salah sebuah sekolah Indonesia di Ranau dipercayai baharu sahaja keluar daripada sebuah bilik sewa yang terletak bersebelahan Hotel Dreamtel, Bandaran Berjaya dan merancang pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) untuk ke Tawau.

Barangan milik mangsa samun yang berjaya dirampas semula polis selepas berjaya memberkas sepasang kekasih dan seorang lelaki dalam kejadian samun di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagaimanapun, mangsa yang sedang berada di kaki lima premis dan belum sempat membuat pesanan perkhidmatan Grab didatangi sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu dinaiki dua lelaki serta seorang wanita sebelum salah seorang penumpang kenderaan berkenaan menawarkan mahu menghantar mangsa ke lapangan terbang. 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata mangsa tanpa berfikir panjang terus menaiki kereta terbabit namun mangsa dibawa ke kawasan Signal Hill.

“Mangsa telah diminta mengeluarkan dan menyerahkan semua barangan berharga miliknya sewaktu dalam perjalanan.

“Tetapi berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa merasakan kepalanya ditetak menggunakan objek tajam sebelum ditinggalkan suspek di suatu lokasi tidak diketahui.

“Guru lelaki yang berada dalam keadaan lemah itu cuba berjalan bagi mendapatkan bantuan sehingga mangsa tiba di sebuah rumah dan dibantu oleh tuan rumah terbabit seterusnya membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM3,000 termasuklah wang tunai dan telefon bimbit.

Habibi berkata menerusi laporan dibuat, pihaknya berjaya mengesan sekaligus menahan pasangan kekasih masing-masing berusia 31 dan 34 tahun itu di salah sebuah bilik Hotel Tai Lee, Bandar Kim Fung, Sandakan sekitar pukul 6.10 pagi pada 25 Disember.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) pada sidang media kejayaan polis dalam dua kes melibatkan jenayah samun dan pecah rumah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut beliau, susulan penahan pasangan itu, pihaknya berjaya menahan seorang lagi rakan jenayah dua suspek berkenaan iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun ketika suspek berada di sebuah rumah yang terletak di Kampung Warisan, Inanam pada pukul 6.15 petang keesokkan harinya.

Dalam pada itu, Habibi menyatakan saringan ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati pasangan kekasih berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine manakala seorang lagi suspek negatif dalam penggunaan dadah.

Sementara itu, Habibi berkata modus operanti suspek adalah menawarkan khidmat kereta sapu kepada mangsa menggunakan kereta yang disewa.

“Selepas melakukan sesuatu jenayah, suspek akan memulangkan semula kereta yang disewa kepada pemilik sebelum menyewa kenderaan lain bagi kegunaan aktiviti samun seterusnya.

“Suspek juga akan menggunakan objek tajam untuk menakutkan mangsa selain memukul sebelum menyamun barangan berharga,” katanya turut menyatakan ketiga-tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau.

Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 25 Disember 2019 hingga 2 Januari 2020.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *