PPM Tahan Tiga Warga Asing Cuba Seludup Petrol Ke Filipina

Polis menunjukkan barangan yang dirampas semasa tiga suspek tersebut ditahan.

SEMPORNA: Tiga penyeludup warga Filipina ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna Wilayah 4 Sabah ketika cuba membawa keluar sebanyak 1,270 liter petrol ke Filipina di perairan Sisipan Semporna, petang kelmarin.

Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 30 tahun ditahan kira-kira pukul 3.40 petang dalam satu operasi cegah jenayah di perairan negara sempena cuti perayaan Krismas Dan Tahun Baharu 2020.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Hj Mohamad Pajeri Ali, dalam operasi itu, anggotanya yang menggunakan bot samaran mengesan suspek menaiki perahu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.

“Antara barang yang dirampas adalah tiga perahu, tiga enjin dan petrol sebanyak 1,270 liter yang diisi dalam pelbagai jerikin pelbagai saiz.

“Keseluruhan jumlah nilai rampasan berjumlah RM47,207.30,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek telah ditahan di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 di kawasan laut Sisipan Semporna.

Menurut beliau, operasi berkenaan dilakukan melalui penyamaran pihak berkuasa untuk memastikan aktiviti penyeludupan barang ke negara jiran dapat dibanteras.

“Operasi cegah jenayah di perairan Semporna sempena perayaan melibatkan tiga anggota unit risikan Marin dan tiga anggota Ungerin menggunakan dua buah bot samaran PPM dan dibantu oleh bot ronda PSC 58 diketuai Asisten Superintenden Sapardi Abd Samad,” katanya.

BorneoToday

304