Sudirman Cuba Selamatkan Isteri & Anak-Anak

Sudirman melecur di kepala, badan dan tangan. Gambar komposit SNT

TENOM: Cubaan Sudirman Hajar, 40, masuk kembali ke dalam rumah yang terbakar tidak kesampaian apabila dia dihalang oleh jiran kerana khuatir keselamatannya.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, jiran tetangga terpaksa menenangkan Sudirman yang berkeras merempuh masuk ke rumahnya untuk menyelamatkan tiga anak dan isterinya serta anak saudaranya.

Itu berikutan keadaan api yang terlalu marak menyukarkan peluang untuknya menyelamatkan mangsa yang dipercayai terperangkap di dalam rumah berkenaan.

Saksi kejadian, Zulkarnain Ngatman, 35, berkata sebaik menyedari kejadian itu, mereka segera pergi ke rumah mangsa untuk membantu.

“Ketika itu, saya lihat Sudirman dalam keadaan badannya separuh hangus terbakar dan keadaannya sangat teruk, jadi saya terus hantar dia ke hospital.

“Masa itu, dia beritahu anak dan isterinya masih di dalam rumah, tapi macam mana kami mahu bantu, api begitu marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Khatijah Omar, 32 serta tiga anaknya, Mohd Sakiran Sudirman, 11, Zahid Sudirman, 9, dan Sapura Sudirman berusia tiga tahun.

Seorang lagi mangsa yang turut ditemui rentung dikenali sebagai Adira Suhaili, 12, iaitu anak saudara kepada Khatijah.

Sudirman turut mengalami lecur hampir tiga peratus di bahagian anggota badan dan kini dirawat di Hospital Daerah Tenom.

Sementara itu, mangsa sekeluarga akan dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Pamilaan, Tenom, petang ini.

Manakala, seorang lagi mangsa Adira akan dikebumikan bersebelahan liang lahad anak beranak berkenaan. –

SabahNewsToday

2953