Manis Kimanis Bukan ‘Kaleng-Kaleng’

 Ismaily Bongsu

Istilah ‘mantul’, ‘bossku’ dan ‘ini kalilah’ kembali jadi bualan menjelang PRK Kimanis

MEMBAKUT: Duduk mengopi bersama kawan-kawan lama. Banyak cerita mengimbau masa lalu. Kenangan mengusik jiwa. Rupanya, sudah ramai menjadi `datuk’ yang tidurnya bukan bersama datin, tapi memeluk seorang nenek.

Itulah kisah bualan kosong kedai kopi di tamu Membakut hari Ahad lepas. Kami bicara tentang dunia dan kehidupan. Peradaban dua zaman, dahulu dan sekarang. Sungguh nostalgik.

__alt__

Tidak jauh dari meja kami, sekumpulan wanita juga rancak membawang. Ceritanya tentang politik. Rasanya, mereka baharu selesai mengikuti satu taklimat di sebuah dewan di seberang tapak tamu pagi itu.

Tanpa sedar, kami juga beralih cerita pasal politik sambil mengopi — tentunya soal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis. Bualan kisah lucu masa lalu tadi, kini bertukar menjadi debat politik sepanas kopi yang dihirup.

Lelaki mengopi, wanita membawang. Topik menyatu pasal politik dan PRK Kimanis. Banyaklah istilah-istilah muncul — antaranya `mantul’, `bossku’ dan `ini kalilah’. Begitu asam manis politik itu sendiri. Kadang menyatu, tapi selalu jadi polemik.

Nyata Kimanis mengundang minat mendalam. Manis Kimanis bukan `kaleng-kaleng’. Biarpun namanya pilihan raya kecil, tapi kesannya cukup besar. Antara survival politik, ideologi kepartian dan panji perjuangan.

Cerita politik Kimanis sudah berbulan jadi bualan, tapi memanas sejak seminggu ini. Selain kedai kopi, dunia maya turut menjadi medan perang para soldadu politik. Lambakan pandangan netizen dapat dilihat menerusi paparan di muka buku. Wacana politik era dunia digital, sedang pengundi bersiap untuk memilih.

Daripada sekian banyak debat politik, saya tertarik dengan tiga catatan yang punya wibawa. Tentunya mengimarahkan politik Kimanis, semanis tembikainya.

YAHYA AHMAD
YAHYA AHMAD

Paparan oleh Datuk Ismaily Bongsu, Yahya Ahmad dan Abdul Malek Unar  — yang saya mengakrabi mereka sejak dahulu, sesuatu yang menginspirasikan. Pedoman dalam perjalanan menuju hari pemilihan 18 Januari depan.

Ismaily mengulas mengenai kemasukan 350 ahli Parti Solidariti Rakyat Sabah (STAR) ke dalam Parti Warisan Sabah (WARISAN) dua hari lalu, sambil merujuk keputusan PRU-13 yang menyaksikan STAR hanya memperoleh 240 undi di kawasan berkenaan.

“Kelmarin, tujuh cawangan STAR tinggalkan parti STAR, makna undi STAR 240 undi keluar 350 orang ikut kiraan STAR hutang ahli 110 orang. Kalau dikira tiada lagi cawangan STAR di Membakut.

“Jangan marah, itu fakta bukan auta. Sila kaji tapi tentu ada jawaban untuk bersilat kata,” demikian antara paparannya yang lebih dikenali ‘Bang Maily’. Paparan itu mengundang banyak reaksi pelbagai nada.

Dalam satu posting lain, Ismaily yang juga Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah membidas pidato seorang pemimpin pembangkang berkaitan isu harga komoditi sawit dan getah, dalam usaha meraih sokongan di Kimanis.

Beliau menegaskan PRK Kimanis tidak sama dengan PRK Tanjung Piai, sebaliknya mengikut trend PRK Parlimen Sandakan di mana Barisan Nasional (BN) tersungkur teruk.

Yahya Ahmad, seorang pemerhati politik bebas, dalam postingnya kelihatan lebih bersifat neutral ketika melontarkan pandangan walaupun dalam nada sinis dan berkias, tapi penuh dengan persoalan demi persoalan.

ABDUL MALEK UNAR
ABDUL MALEK UNAR

Antara ungkapan menariknya:  “Jangan sekadar mengharap orang luar tolong merubah. Kita yang duduk dan faham di kawasan sendiri kena ada kesedaran berfikir berjiwa besar untuk mengubah. Kawasan kita cukup jauh ketinggalan. Daerah kecil Membakut masih bernaung di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Beaufort. DUN Bongawan bukan saja bernaung di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Papar, malah dari dulu hingga kini rupa saja DUN, namun masih tiada urusetia kecil pentadbiran Pejabat Daerah seperti Membakut.”

Beliau mengingatkan rakyat Kimanis bahawa “apapun kiblat parti kita, kena bersatu hati, kena pacu kesungguhan bagi menentukan halatuju impian perubahan mampan (sebagai) satu perkara penting untuk diperjuangkan.”

Menurutnya, apa yang perlu diperjuangkan adalah menentukan anak-anak muda mempunyai sumber pendapatan, jangan berkelayakan tapi tanpa pekerjaan hingga terbeban isu pengangguran.

“Inilah perjuangan ibadah kita, bukan lagi perjuangan mencari kedudukan untuk kuasa dan lagak kaya,” katanya.

Abdul Malek Unar, penulis veteran asal Membakut, dalam salah satu postingnya menegaskan “Jangan mengajar itik berenang. Sebagai pengundi, kami tahu apa yang akan dilakukan.”

Kemudian dalam satu posting lain, beliau menyambung lagi: “Kalau benarlah WARISAN memilih Datuk Karim Haji Bujang sebagai calon, ini sudah dianggap ngam (sesuai) dan boleh memberikan tentangan hebat kepada BN walaupun berhadapan dengan Datuk Mohamad Haji Alamin. Apa pun pandangan dan pendapat tentangnya, Datuk Karim mantan ADUN Bongawan juga punya jasa dan pengorbanan yang tidak boleh dilupakan dan bagitu juga Datuk Mohamad Haji Alamin.”

Beliau mengakhiri komennya dengan berkata “jawapannya, rakyat di sini saja yang tahu, BN atau WARISAN. Selamat Memilih.”

 Pemandangan kawasan Pekan Membakut, salah satu DUN dalam Parlimen Kimanis yang bakal jadi tumpuan dalam PRK kali ini.
JADI TUMPUAN: Pemandangan kawasan Pekan Membakut, salah satu DUN dalam Parlimen Kimanis yang bakal jadi tumpuan dalam PRK kali ini.

Proses penamaan calon PRK Parlimen Kimanis ditetapkan Sabtu ini (4 Januari). Manakala pengundian awal 14 Januari, sebelum hari penentuan 18 Januari — melibatkan 29,664 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Persaingan kali ini dijangka antara WARISAN mewakili parti pemerintah dengan pembangkang UMNO-BN selain calon Bebas yang dikatakan juga akan mencuba nasib.

Apapun, penganalisis politik berpendapat impak pilihan raya kecil ini sememangnya besar kerana menjadi kayu pengukur kepada prestasi kerajaan baharu yang hampir memasuki dua tahun pemerintahan.

Apakah UMNO-BN mampu mencipta kemunculan semula, hanya pengundi Kimanis yang menentukannya. Apakah akan ada gelombang baharu di Kimanis, juga akan terus menjadi teka-teki sehinggalah hari pengundian nanti.

Sumber: Utusan Borneo / Oleh: Lichong Angkui

627