Dadah: Lelaki Tempatan Ditahan, Rampas Barangan RM26,000

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

KUDAT: Hasrat seorang lelaki tempatan untuk mengedar dadah jenis syabu yang berada dalam milikannya tidak kesampaian apabila suspek berjaya dikesan Unit Risikan Marin (URM), di Taman Lajong, di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, URM Kudat menahan lelaki tempatan berusia 33 tahun itu dalam Op Terancang yang dijalankan di Taman Lajong, Kudat.

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas suspek dan kenderaan yang dinaiki, URM menemui 34 tiub plastik mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat wang sejumlah RM1,304 dan barang peribadi milik suspek.

“Kesemua dadah dan barangan milik suspek itu dirampas, anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM 25,904,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

Mohamad Pajeri berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kudat untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, PPM Sabah akan meneruskan Pelan Tindakan Pengoperasian Pencegahan Jenayah Perairan Sabah dengan lebih agresif dan proaktif menjelang Tahun Baharu 2020 sehingga perayaan Tahun Baharu Cina 2020.

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *