
TENOM: “Sepatutnya mereka bersama bapanya pagi ini pergi ke pekan Tenom, untuk membeli kelengkapan sekolah dua anaknya.
Tapi menyedihkan mereka ditemui rentung bersama ibunya dan tiga anaknya serta sepupu mereka,” kata ibu saudara Hamisah Lapulo, 39, kepada Katijah Omar yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Menara Pamilaan, di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, turut meninggal dunia tiga anaknya Mohd Sakiran Sudirman, 11, Zahid, 9, dan Sapura berusia tiga tahun.
Seorang lagi mangsa yang turut ditemui rentung iaitu Adira Suhaili, 12, anak saudara kepada Katijah.
Sementara suami Khatijah, Sudirman Hajar, 40, melecur di kepala, badan dan tangan dan kini menerima rawatan di Hospital Tenom.

Hamisah berkata, dia yang tinggal lebih kurang satu kilometer dengan kediaman anak saudaranya hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi abangnya.
“Saya terkedu apabila dimaklumkan salah seorang anak Katijah ditemui rentung. Lalu bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba kami dimaklumkan turut meninggal dunia Katijah dan dua anaknya lagi serta seorang lagi keluarga mereka.
“Sudirman baru dua hari tiba di rumah mereka kerana bekerja di Semenanjung sebagai juru perunding binaan dan sepatutnya Sudirman membawa Katijah bersama anaknya ke pekan Tenom untuk membeli kelengkapan sekolah dua anaknya iaitu Sakirin dan Zahid.
“Namun hasrat itu tidak kesampaian dan berakhir tragedi yang amat menyedihkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, mangsa sekeluarga akan dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Pamilan, Tenom, hari ini.
“InsyaAllah kalau tidak halangan, hari ini juga dikubur di Tanah Perkuburan Islam Pamilaan,” katanya.