Lebih 8000 Murid Terbabit Program Sarapan Pagi Percuma Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 29 Dis: Lebih 8,000 murid daripada 15 buah sekolah rendah di Sabah terlibat dalam Program Sarapan Pagi (PSP) yang akan bermula pada 20 Jan depan, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Mistirine Radin.

Beliau berkata sekolah berkenaan melibatkan di 15 buah daerah di Sabah yang layak menerima PSP kerana mempunyai peratus murid dari golongan keluarga B40 yang tinggi.

“Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (Sk) Penangah, Telupid; Sk St James(M), Kudat; Sk Tandek, Kota Marudu; Sk Nambayan, Tambunan; Sk Kabogan, Semporna; Sk Bukit Garam, Kinabatangan; Sk Pinggan-Pinggan, Pitas.

“Sk Binsulok, Beaufort; Sk Kuala Tomani, Tenom; Sk Kebagu, Kota Kinabalu; Sk Kulambai, Kota Belud; Sk Pekan Nabawan, Pensiangan; Sk Kundasang, Ranau; Sk Sungai Anib 1, Sandakan dan Sk Umas-Umas, Tawau,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Jumaat lepas, Kementerian Pendidikan (KPM)  dalam kenyataan memaklumkan PSP fasa pertama akan mula dilaksanakan pada 20 Jan 2020 di 100 sekolah rendah di seluruh negara, melibatkan 37,000 murid.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *