MEMBAKUT: Pas Sementara Sabah (PSS) bukan kad pengenalan (IC), PSS juga bukan bererti pemegangnya boleh memohon taraf warganegara Malaysia sebaliknya pemegang PSS adalah kekal warga asing yang mendapat kebenaran tinggal di negara ini.
PSS hanya akan menggantikan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dikeluarkan sebelum ini kepada sebanyak 136,055 pelarian manakala pendatang asing tanpa izin (PATI) pula ialah golongan yang masuk secara haram ke Malaysia dan perlu diburu serta diusir keluar.
Demikian penegasan diberikan Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin dalam sesi soal jawab bersama kira-kira 200 masyarakat yang hadir dalam Program Penerangan Tentang PSS di Dewan Serbaguna Membakut hari ini.
Bercakap kepada Borneo Today selepas itu, Muhamad Sade menjelaskan, PATI tidak akan sama sekali diberikan PSS sebaliknya golongan itu akan ditangkap dan ditahan sebelum dihalau ke negara masing-masing.
“Jadi sudah jelas bahawa PSS ini bukan IC dan ianya juga adalah bukan untuk PATI ianya tertakluk kepada mereka yang sedia ada telah memiliki ketiga-tiga kad ini dan tujuan PSS adalah untuk menukar ketiga-tiga kad ini yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamtan, saya nyatakan tadi bahawa kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan kepada pemegang kad ini sebanyak 136,055 pemilik sahaja.
“PATI adalah kerja kami di Jabatan Imigresen untuk melakukan operasi dari masa ke semasa, untuk makluman Jabatan Imigresen telah melakukan banyak operasi dan sepanjang tahun ini sahaja kita telah menangkap sebanyak 5,000 PATI yang mana mereka ini telah memenuhi pusat tahanan sementara kita jadi boleh saya nyatakan bahawa mereka ini tidak memiliki sebarang dokumen, mereka yang telah memiliki dokumen tetapi telah melanggar syarat-syarat imigresen di negara kita ,mereka ini dianggap PATI dan kita telah mengambil tindakan sebagaimana biasa,” katanya.
Muhamad Sade berkata, sebelum ini IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dikeluarkan hanya berbentuk kertas sehingga berlaku banyak pemalsuan dokumen tersebut, justeru dengan adanya PSS ketiga-tiga dokumen tersebut akan ditukar kepada kad yang mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi dan tidak boleh dipalsukan.
Tegasnya, hanya Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Ketua Menteri yang akan terlibat dalam mengeluarkan PSS bukannya Jabatan Pendaftaran Negara kerana PSS bukanlah pemberian kewarganegaraan kepada orang asing.
“Jangan kaitkan PSS ini dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan sebagainya sebab PSS ini bukannya berkenaan dengan pendaftaran mereka yang ingin menjadi warganegara ini adalah hanyalah merupakan proses menukar tiga kad tadi menjadi satu kad yang bermutu tinggi memunyai ciri-ciri keselamatan jadi ini hanya akan dilaksanakan oleh tiga agensi utama iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Ketua Menteri dan Majlis Keselamatan Negara bagi menentukan kesahihan pada Kad Burung-Burung dan juga Sijil Banci yang telah dimiliki pemohon.
“Jabatan Imigrsen sendiri kita memerlukan satu dokumentasi bermutu tinggi untuk memberikan kita membuat penguatkuasaan, dengan adanya kad ini nanti kita akan dapat mengesan kesahihan satu-satu pemilikan dan juga dalam masa yang sama kita akan dapat kawal perjalanan mereka di dalam negara, jadi ini akan dapat membantu usaha kita untuk membuat pengusiran kepada PATI yang tidak memiliki dokumen sebenar dan kita harap juga supaya ini dapat mengurangkan kes-kes pemalsuan dokumen yang agak berleluasa ketika ini,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Muhamad Sade mengesahkan bahawa cadangan pelaksanaan PSS sebenarnya telah bermula pada 2010 yang ketika itu dikenali sebagai Pas Residen, namun kerajaan lampau gagal melaksanakannya kerana tidak mempunyai kehendak politik yang kuat dalam menyelesaikan masalah PATI di Sabah.
Katanya, hanya pada tahun ini barulah cadangan berkenaan dirancang akan dilaksanakan bermula 1 Jun 2020 kerana kerajaan sekarang serius dalam menyelesaikan masalah kebanjiran warga asing di Sabah yang telah membelenggu rakyat negeri ini sejak sekian lama.
“Hanya pada 2019 iaitu di bawah kerajaan baharu di mana satu mesyuarat jawatankuasa induk yang telah diadakan pada 16 September yang dipengerusikan Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah memutuskan untuk melaksanakan PSS yang akan bermula pada 1 Jun 2020, jadi daripada kronologi ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan tentang pas ini adalah satu perkara yang telah dicadangkan atau pun disokong dalam kerajaan yang terdahulu jadi saya yakin bahawa ini perkara yang baik ianya dilaksanakan dan diteruskan dalam pemerintahan sekarang.
“Kami berharap supaya isu ini tidak dipolitikkan memandangkan dasar yang telah akan dilaksanakan merupakan dasar yang telah diputuskan sejak 10 tahun yang lepas jadi dasar ini memberikan manfaat kepada rakyat dan saya yakin jika agensi-agensi kerajaan diberikan kepercayaan untuk melaksanakan dasar ini tanpa dipolitikkan ia akan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat keseluruhan,” tambahnya.
Sumber : BorneoToday