(VIDEO) Nyaris Jadi Lauk Harimau

Antara sedutan rakaman video lelaki dibaham harimau.

RIYADH: Seorang lelaki nyaris mati dibaham harimau apabila jatuh ke dalam kandang haiwan itu di sebuah zoo di Arab Saudi minggu ini.

Rakaman video mengerikan menunjukkan lelaki itu terlentang manakala harimau betina baka Bengal itu dilihat membaham bahagian atas badannya dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi di zoo di Riyadh itu, lapor Daily Mail.

Media tempatan menamakan mangsa sebagai Mohammed Abdul Mohsen, 24, dari Sudan. Dia diselamatkan selepas pekerja zoo menembak harimau berkenaan dengan pelali sebanyak lima kali, kata kenyataan Majlis Perbandaran Riyadh.

Mangsa yang cedera pada leher dan kakinya dikejarkan ke hospital dan kini dalam keadaan stabil.

Ada pandangan bercanggah mengenai bagaimana Mohammed terjatuh ke dalam kandang harimau itu, malah ada yang mendakwa dia sengaja memanjat masuk menggunakan tali kononnya kerana mahu menjinakkan haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, Mohammed sendiri menafikannya, sebaliknya ketika ditemu ramah berkata dia terjatuh ke dalam kandang itu selepas pening dan pitam. Kejadian itu kini disiasat. – Agensi

1271