5 Lelaki Tempatan Ditahan Dalam Ops Taksforce Bersepadu Di Tawau

KALABAKAN: Seramai lima lelaki tempatan berumur 27 hingga 47 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dengan aktiviti pemburuan haram dalam Ops Taskforce Bersepadu, di beberapa lokasi hutan simpan, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Konservator Hutan Datuk Mashor Jaini berkata, operasi yang disertai Jabatan Perhutanan Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL), Yayasan Sabah dan beberapa badan bukan kerajaan itu diadakan selama empat hari bermula 20 Disember hingga semalam.

“Operasi bersepadu itu dilakukan di kawasan hutan simpan Kalabakan, Maliau Basin, Sapulut, Gunung Rara, Ulu Sungai Kuamut dan ladang kelapa sawit.

” Hasilnya kami berjaya membuat tangkapan dan rampasan dalam empat kes berasingan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Mashor, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki di Hutan Simpan Sapulut kerana memiliki tiga ekor babi hutan tanpa lesen.

“Tangkapan kedua membabitkan seorang  lelaki di ladang kelapa sawit, di sini, kerana memiliki sepasang tanduk rusa, satu senjata api, 1.7 kilogram daging hidupan liar dipercayai rusa, tiga butir peluru hidup jenis ‘shotgun’ dan satu butir kelongsong peluru.

“Manakala tangkapan ketiga pula, juga di sebuah ladang sawit membabitkan penahanan seorang lelaki tempatan kerana memiliki 47 helai bulu dipercayai bulu burung Enggang Badak (Tanda Mata Kerajaan) tanpa lesen,” katanya.

Selain itu, kes keempat hanya membabitkan rampasan satu bangkai babi hutan, organ dalaman babi hutan yang disimpan dalam plastik dan satu besi tajam dipercayai untuk tujuan pemburuan haram.

Menurut Mashor, semua suspek ditahan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

“Semua suspek yang ditahan akan dikenakan tindakan tegas jika sabit kesalahan sebagai amaran kepada suspek dan orang ramai agar tidak melakukan pemburuan haram terutamanya di kawasan hutan simpan.

“Ia bertujuan bagi memastikan khazanah alam dan haiwan dilindungi ini tidak pupus untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

BorneoToday

6269