PRK Kimanis: 4 Januari Penamaan Calon, 18 Januari Mengundi

KOTA KINABALU: Gendang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dipalu hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Januari 2020 sebagai tarikh penamaan calon manakala hari mengundi ditetapkan pada 18 Januari.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengumumkan perkara tersebut dalam sidang akhbar selepas mesyuarat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur hari ini.

Azhar mengadakan sidang akhbar tentang PRK Kimanis di Kuala Lumpur.

“Bagi maksud menjalankan PRK ini, SPR telah menetapkan tarikh- tarikh penting seperti berikut iaitu hari penamaan calon pada 4 Januari hari Sabtu, hari mengundi awal 14 Januari hari Selasa dan hari mengundi pada 18 Januari 2020 pada hari Sabtu.

“Tempoh berkempen ditetapkan adalah 14 hari bermula hari penamaan calon sehingga 11.59 malam pada 17 Januari 2020,” katanya.

Menurut maklumat daftar pemilih yang dikemas kini pada 9 Disember lalu, terdapat sebanyak 29,664 pengundi di Parlimen Kimanis yang layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi luar negara.

Parlimen Kimanis mempunyai komposisi pengundi 66.54 peratus bumiputera Islam, 29.93 peratus bumiputera bukan Islam, 3.19 peratus Cina dan lain-lain sebanyak 0.34 peratus.

Dalam pilihan raya umum lalu, bekas Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang mewakili UMNO menang dengan majoriti 156 undi selepas mendapat 11,942 undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang  dengan 11,786 undi dan Jaafar Ismail yang mendapat 1,300 undi.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu sebelum itu yang membatalkan kemenangan Anifah atas beberapa kesalahan.

Berikutan itu, PRK Kimanis perlu diadakan SPR mengikut Perkara 54 Klausa 1 Perlembagaan Persekutuan dan dijangka menelan belanja RM3.6 juta.

Azhar berkata, Pegawai Daerah Beaufort, Jupri @ Jupri Itok dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK Kimanis manakala proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan dibuat di Dewan Datuk Seri panglima Haji Mohamad Dun Banir di Beaufort.

Tambahnya, semakan daftar pemilih boleh dibuat bermula 26 Disember melalui lamam web www.spr.gov.my atau talian 0388927018 atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) 15888 serta aplikasi mysprsemak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *