Azis Minta Ketua Pemuda UMNO Sabah Buat Kajian Sebelum Keluarkan Kenyataan

KOTA KINABALU: Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman meminta Ketua Pemuda Umno Sabah Ir Abdul Aziz Julkarnain membuat kajian sebelum mengeluarkan kenyataan. 

Susulan dakwaannya pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, yang mengatakan kononnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal adalah Ketua Menteri pertama yang menawarkan pulau (tanah) kepada pelarian perang.

“Apabila Ketua Pemuda Umno Sabah cakap, Shafie Ketua Menteri pertama yang ingin memberi tanah kepada pelarian, itu tidak betul. Minta dia belajar. Buat kajian sedikit.

“Kerajaan terdahulu sudah memberikan tanah kepada pelarian, realitinya (kewujudan) ‘rumah-rumah merah’ dan pusat-pusat penempatan pelarian (yang ada di Sabah).

“Pusat-pusat tahanan dan rumah-rumah merah di Telipok, Kinarut, Sandakan, Tawau dan beberapa tempat lagi disediakan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata saranan Shafie mengenai pulau itu adalah idea yang spontan sahaja, bukannya hendak dijadikan dasar kerajaan.

Menurutnya, idea Shafie mengenai pulau itu dilontarkan secara spontan selepas mendengar taklimat pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Imigresen.

“Pegawai yang hadir memberikan taklimat mengenai isu pusat-pusat penempatan pelarian yang semakin besar dan tidak boleh dikawal disebabkan berlaku kahwin campur.

“Ada (pendatang di pusat penempatan pelarian) yang berkahwin dengan warganegara sehingga menyebabkan penempatan-penempatan terbabit semakin besar,” katanya.

Beliau berkata selepas taklimat terbabit, secara spontan Shafie mengungkapkan ayat bahawa jika susah dikawal, bagus diletakkan di satu pulau supaya senang dikawal.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata idea terbabit tidak menjadi dasar kerajaan hari ini, bahkan tidak ada minit mesyuarat atau arahan negeri untuk cari pulau.

Utusan Borneo

2035