Imunisasi Tambahan Untuk Semua Kanak-Kanak Bawah Lima Tahun Di Sabah

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah akan diberi imunisasi tambahan yang akan dibuat secara berperingkat bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan. 

“Perancangan rapi sedang dibuat dan pemberian imunisasi tambahan itu akan dijalankan secepat mungkin,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di sini hari ini.

Image result for noor hisham abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau berkata pada masa ini aktiviti pemberian imunisasi untuk kanak-kanak yang tercicir imunisasi di kawasan tempat tinggal kes dan kawasan berhampiran telah dilaksanakan bagi memastikan liputan imunisasi polio ditingkatkan.

Sehingga 14 Dis, 2019, seramai 59 kanak-kanak berumur dua bulan hingga 15 tahun di kawasan yang tercicir imunisasi itu telah diberikan vaksin polio. Kesemua mereka ini adalah kanak-kanak bukan warganegara, katanya.

Pada 8 Dis lepas, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Dr Noor Hisham berkata penyakit berjangkit seperti polio tidak mengenali sempadan dan cara terbaik untuk mencegahnya ialah melalui imunisasi.

“Oleh itu, ibu bapa diseru untuk memastikan anak yang tercicir imunisasi dibawa ke Klinik Kesihatan yang berhampiran. Penjadualan semula imunisasi bagi kanak-kanak cicir imunisasi akan dibuat mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga terus berhubung dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mendapatkan maklumat terkini situasi polio secara global dan sedang memperhalusi kerjasama dengan pihak United Nations Children’s Fund (UNICEF) bagi mendapatkan bekalan vaksin pada kos yang rendah (disubsidi oleh UNICEF) untuk program imunisasi bukan warganegara di Sabah.

Pemberian vaksinasi itu akan dilaksanakan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih, katanya.

Beliau berkata aktiviti pengesanan kes-kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) yang menunjukkan gejala seakan-akan poliomyelitis (iaitu proksi kepada penyakit poliomyelitis) di kawasan sekitar tempat tinggal bayi berkenaan kini diperluaskan ke kawasan berhampiran dan kawasan berisiko.

Seramai 1,553 orang telah diperiksa, dan tiada yang bergejala AFP dikesan, katanya sambil memberitahu bahawa pengambilan sampel najis daripada 20 orang kontak rapat bayi itu telah dijalankan untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

BERNAMA

2962