PPBM Sabah Mahu Warisan Menang Bergaya Di PRK Kimanis

Khairul Firdaus Akhbar Khan

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan membuktikan sokongan mereka kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan membantu calon Warisan menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, pemimpin-pemimpin Bersatu perlu membuktikan perkara itu kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan rakyat Sabah agar mereka boleh diterima dalam politik baharu negeri.

Katanya, Bersatu Sabah tidak mahu lagi dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin UMNO seperti dakwaan bahawa parti itu berpaksikan kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

“Kebanyakkan ahli percaya kami disokong oleh Musa, itu tidak betul kerana bila menyertai Bersatu syarat pertama diberikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah membantu Warisan .

“Itu sangat jelas dan PRK Kimanis adalah batu loncatan untuk kami membuktikannya, objektif kami adalah Warisan mesti menang, menang dengan bergaya,” katanya ketika pertemuan dengan media malam tadi.

Ditanya mengenai hubungan antara Mohd. Shafie dengan Bersatu Sabah yang agak dingin, Khairul Firdaus berkata, pimpinan Bersatu perlu berusaha mengambil hati Ketua Menteri itu.

Katanya, perkara tersebut lumrah kerana semasa pilihan raya umum lalu, pimpinan Bersatu Sabah yang sebelum ini adalah ahli UMNO menentang Mohd. Shafie, namun senario politik telah berubah.

“Memang tidak mudah untuk beliau menerima kami tetapi kami perlu bersyukur sebab beliau memberikan juga peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kami.

“Jadi kini tugas kami untuk bekerja keras membuktikan kepadanya, tanggungjawab kami untuk berlaku baik kepadanya, buktikan bahawa kami menyokong beliau,” katanya.

Mengulas tentang Pas Sementara Sabah (PSS) yang sebelum ini dikritik pemimpin Bersatu negeri katanya, kad tersebut adalah penyelesaian yang terbaik dan gagal dilakukan pemerintahan terdahulu.

“PSS ini baik kerana masalah yang ada perlu diselesaikan dulu kerajaan lama memang gagal.

“Cuma perlu beri penjelasan dengan sebaik mungkin sebab banyak kerisauan, Bersatu juga perlu jelaskan kepada rakyat,” tambahnya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *