KOTA KINABALU: Sistem Informasi Ushawan Sabah (SENTIS) menyediakan pusat sokongan dan nasihat kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal berkata sistem yang dibangunkan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan Industri Sabah itu, dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Mac 2020.
“Sistem ini akan menjadi pusat pangkalan data maklumat usahawan yang lengkap berserta dengan sistem pemantauan yang interaktif kepada semua agensi di bawah sektor usahawan.
“Selain itu, SENTIS juga akan menjadi platform sumber informasi induk usahawan yang menyediakan pusat sokongan dan nasihat kepada usahawan.
“Program ini diharapkan menjadi medium hebahan maklumat mengenai peluang dan inisiatif kerajaan untuk membangun industri di Sabah serta platform untuk menampilkan produk keluaran syarikat tempatan di samping promosi dan jualan,” ujarnya pada Majlis Anugerah Usahawan Sabah 2019 pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Sabah.
Minggu Usahawan Sabah disertai lebih kurang 400 usahawan IKS dari seluruh negeri merangkumi pelbagai sektor antaranya industri makanan dan minuman, kraftangan, homestay, kosmetik dan produk kesihatan dan penjagaan diri di Sabah Trade Centre hingga 15 Disember ini.
Ekspo tiga hari tersebut bertujuan menyediakan platform untuk pemain industri yang berkaitan bertemu dan beriteraksi antara satu dengan yang lain dan membina jaringan perniagaan.