Cadangan Penjualan Saham Petronas Dibincang 16 September

KOTA KINABALU: Cadangan Kerajaan Persekutuan untuk menjual sebahagian saham Petronas kepada negeri-negeri pengeluar minyak akan dibincang dengan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada 16 Disember ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan duduk semeja dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur.

Katanya, mesyuarat itu adalah susulan kepada beberapa siri perbincangan yang telah dilakukan sebelum ini bersama pihak berkepentingan dan Petronas.

“Kita akan melihat pilihan-pilihan yang boleh diterima pakai semua pihak bukan hanya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tetapi juga Petronas.

“Kita akan melihat kepada pilihan itu, apa yang penting ada keharmonian dalam keputusan yang dibuat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perayaan Krismas Kota Kinabalu 2019 malam tadi.

Beliau berkata ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri berhubung cadangan kerajaan mempertimbang penjualan saham Petronas kepada negeri-negeri dimana, syarikat minyak dan gas asli itu beroperasi.

Dalam temubual bersama Reuters pada 10 Disember, Mahathir berkata, kerajaan akan mempertimbangkan penjualan saham Petronas kepada negeri-negeri di mana syarikat minyak dan gas asli itu beroperasi di Malaysia.

Penjualan itu termasuk kepada Sabah dan Sarawak kerana kerajaan tidak mampu memenuhi tuntutan menaikkan royalti yang dibayar syarikat minyak negara itu daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Cadangan itu dibuat dalam usaha mencari dana bagi kerajaan yang kini dibebani hutang yang tinggi.

Langkah itu memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak dalam pengurusan Petonas yang merupakan pengeksport gas asli dan cecair ketiga terbesar dunia.

Sebelum itu Pada 7 Disember, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilaporkan be cc rkata, Petronas tidak dapat membayar 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak dan gas kerana mereka menampung kos pengeluaran tinggi dan margin keuntungan yang rendah.

Sementara itu, ditanya adakah saham itu perlu diserahkan terus kepada kerajaan negeri tanpa perlu menjualnya, Mohd Shafie berkata, mereka akan melihat perkara tu.

“Buat masa ini, saya tidak dapat memberikan semua maklumat mengenai perkara itu kerana perbincangan akan diadakan pada 16 Disember ini, jadi saya tidak mahu membuat kenyataan terlalu awal,” ujarnya.

BorneoToday

406