Minuman Keras Bernilai RM1.19 Juta Dirampas Di Manggatal

Empat kontena yang ditemukan di lokasi dipercayai menyimpan minuman keras tidak bercukai.

KOTA KINABALU: Sembunyi kontena berisi minuman keras di kawasan kuari. Itu taktik sindiket penyeludupan minuman keras yang berjaya dipatahkan Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu.

Rampasan bernilai RM1.19 juta itu hasil serbuan di tapak kuari dekat Kampung Pulutan, Manggatal pada 11.10 pagi, 28 November lalu.

Arak seludup yang disimpan dalam kontena di tapak kuari. FOTO Ihsan PGA.

Pegawai Pemerintah PGA Sabah Superintendan Gan Tong Ki berkata, pihaknya merampas empat kontena berisi minuman keras jenis tin dan botol yang dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan.

“Pemeriksaan seterusnya terhadap semua kontena itu menemui 88,415 tin dan 7,104 botol minuman keras jenama Sea Pearl Beer (biru), Sea Pearl Beer (kuning) dan Guinness Stoutini tidak bercukai.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,199,735 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Gan berkata, tiada tangkapan dilakukan dan semua rampasan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *