(VIDEO) Polis Penampang Buru Suspek Kes Khianat Kebakaran Di Bangunan T1

Ketiga-tiga suspek dilihat menerusi rakaman CCTV menyalakan api.

PENAMPANG: Polis Penampang sedang giat memburu tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian sebuah premis dibakar di Bangunan T1, Jalan Bundusan, di sini, tengah malam tadi.

Kejadian jam 12.55 tengah malam itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan yang kini menjadi tular di laman sosial.

Ketiga-tiga suspek dilihat menerusi rakaman CCTV menyalakan api.

Menerusi rakaman CCTV itu, ketiga-tiga suspek yang memakai penutup muka dan topi berwarna hitam mencurah petrol lalu menyalakan dengan pemetik api.

Sebaik api dinyalakan, ketiga-tiga suspek bertindak melarikan diri.

Mohd Haris melakukan tinjuan di lokasi kejadian. Gambar SNT / Ihsan IPD Penampang

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kejadian itu disedari oleh pemilik premis berkenaan selepas dihubungi oleh rakan suaminya yang memaklumkan kedai miliknya terbakar.

“Selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, dia bergegas ke lokasi dan dapati api telah dipadamkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Beberapa barang milik kedai seperti kerusi, meja dan pintu kaca musnah dan anggaran kerugian hampir RM10,000,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Haris berkata, rakaman CCTV di premis berkenaan berjaya merakam tiga suspek telah menyimbah petrol di premis berkenaan dan semua suspek melarikan diri selepas api dinyalakan.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek yang terbabit dalam kes ini sedang diburu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini mohon untuk menghubungi pihak polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

SabahNewsToday

1810