3 Remaja Ditahan Disyaki Rogol Gadis OKU

SEKADAR GAMBAR HIASAN

SEMPORNA: Perbuatan tiga lelaki merogol gadis orang kurang upaya (OKU) terbongkar selepas mangsa menggunakan bahasa isyarat memberitahu bahawa dirinya dirogol di sebuah pondok berhampiran rumahnya di Jalan Kalumpang Pinang Palm Oil, kelmarin.

Mangsa dalam lingkungan usia 18 tahun yang mengalami masalah pendengaran dan bisu mendakwa dirogol oleh ketiga-tiga suspek dianggarkan berusia dalam lingkungan 14 hingga 16 tahun yang tinggal berhampiran rumah mangsa.

Difahamkan bapa mangsa menyedari anaknya tidak ada di dalam bilik tidurnya sebelum bertindak keluar mencari mangsa kira-kira jam 2 pagi.

Mangsa kemudian ditemui seorang diri duduk di luar rumah keluarganya kemudian menceritakan kepada bapanya dengan bahasa isyarat bahawa dirinya dirogol oleh tiga lelaki dan menunjukkan lokasi mangsa dirogol.

Bapa mangsa kemudian tiba di sebuah pondok berhampiran rumahnya dan mendapati empat lelaki di dalam pondok berkenaan.

Mangsa kemudian menunjuk tiga suspek yang merogolnya namun ketiga-tiga suspek tidak mengaku melakukannya.

Kesemua mangsa berjaya ditahan selepas bapa mangsa membuat laporan polis.

Menurut sumber salah seorang suspek menghubungi mangsa melalui panggilan video sebelum mengajak mangsa untuk datang ke pondok berkenaan.

Mangsa kemudian ke pondok berkenaan dan dirogol sebelum diarah untuk pulang semula ke rumah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat dibawah Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

SabahNewsToday

2004