
KUNDASANG, 9 Dis: Kerja-kerja membaik pulih laluan di KM96.7 Jalan Kundasang – Ranau yang terputus susulan kejadian tanah runtuh semalam, akan mengambil masa lebih seminggu untuk disiapkan.
Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Peter Anthony berkata kerja-kerja baik pulih akan mula dilaksanakan esok, sama ada membina jalan alternatif di jalan yang sama atau mungkin membina jambatan bailey.

“Kerja-kerja baik pulih jalan akan dimulakan esok selepas mesyuarat diadakan, yang melibatkan pihak kementerian dengan syarikat konsesi yang mengendalikan jalan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tanah runtuh itu, hari ini.
Kejadian tanah runtuh pada pukul 9.40 malam semalam telah mengakibatkan jalan utama terputus dan ketika ini jalan berkenaan buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan dan pembaikan.
Sementara itu Peter berkata aktiviti penanaman sayur dan kerja-kerja pembinaan rumah di kawasan bahagian atas jalan berkenaan dikenal pasti sebagai punca kejadian tanah runtuh.
Menurutnya kejadian tanah runtuh itu turut mendatangkan risiko bahaya terhadap beberapa rumah terletak berhampiran dan pihak polis telah melakukan pemantauan.
JKR Ranau pula menasihat pengguna jalan raya di Kundasang supaya menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kampung Dumpiring – Kampung Mohimboyon – Kampung Kibbas; Jalan Kibbas – Kampung Mohimboyon – Kampung Dumpiring atau Jalan Pinausok – Kampung Kauluan – Kundasang.
Bagi pengguna jalan raya menuju ke Sandakan – Kota Kinabalu, mereka boleh menggunakan laluan alternatif Ranau – Kampung Kibbas – Kampung Mohimboyong – Kundasang; Ranau – Tambunan – Penampang – Kota Kinabalu; atau Ranau – Kota Marudu – Kota Kinabalu.
BERNAMA