Hentikan Aktiviti Di Kawasan Tanah Runtuh Di Jalan Kundasang-Ranau: Peter

RANAU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony mengarahkan semua aktiviti pertanian dan pembinaan perumahan di kawasan sekitar tanah runtuh di sini segera dihentikan.

Beliau ketika membuat tinjauan di lokasi tanah runtuh Jalan Kundasang-Ranau semalam mendapati aktiviti terbabit antara punca yang boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Peter (kanan) mendengar penerangan semasa membuat tinjauan di lokasi tanah runtuh Jalan Kundasang-Ranau.

Katanya, aktiviti pertanian dan pembinaan perumahan di atas kawasan terbabit dimiliki oleh pihak persendirian dan pemantauan akan dibuat sama ada ia sudah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak pernah membenarkan sebarang aktiviti dijalankan di kawasan tanah berkenaan.

“Dari tinjauan ini kita mendapati kawasan aktiviti itu melibatkan keluasan tanah sekitar 2.6 hektar.

“Kawasan berkenaan sememangnya nampak luas dan dari segi keselamatan ia tidak teratur serta agak membahayakan,” katanya ketika ditemui media semasa membuat tinjauan di lokasi tanah runtuh di sini semalam.

Tinjauan di kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh.

Dalam pada itu, pihaknya bersama konsesi di bawah kementerian akan bermesyuarat hari ini (Selasa) untuk memutuskan kaedah alternatif bagi menangani masalah laluan terputus di Jalan Kundasang-Ranau.

Peter berkata, antara cadangan yang akan digunakan sama ada kaedah jambatan alternatif (valley bridge) atau mengalihkan runtuhan dan membuka laluan sementara.

“Pihak polis turut mengarahkan supaya penduduk kampung di kawasan sekitar supaya dipindahkan.

“Ini kerana kita menjangkakan mungkin akan berlaku lagi runtuhan susulan sekiranya hujan terus berlarutan hari ini,” jelasnya.

Beliau berkata, setakat ini dua wakil penduduk sudah membuat laporan polis berikutan tanaman dan rumah mereka yang terjejas akibat dari tanah runtuh berkenaan.

Pihaknya percaya, ramai lagi penduduk yang akan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah laluan terputus dan tanah runtuh di kawasan itu dapat diselesaikan segera.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *