Virus Polio: Penduduk Tak Tahu Ada Jangkitan

Tinjauan mendapati kakitangan Kementerian Kesihatan berada di lokasi yang dipercayai seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dijangkiti virus polio di Kampung Damat, Tuaran. Foto Khairull Azry Bidin

TUARAN: Kehadiran kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kampung Damat di Jalan Sungai Damit, dekat Tuaran, menjadi tanda tanya penduduk apabila kenderaan dinaiki beberapa kakitangan beruniform itu dilihat kerap berada di kampung terbabit sejak dua hari lalu.

Ekoran kenyataan media KKM semalam juga, melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari daerah ini disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) atau lebih dikenali virus polio dipercayai mempunyai kaitan genetik yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina.

Bagaimanapun, kenyataan dimuat naik itu tidak menyatakan lokasi sebenar atau kampung bayi itu, sekali gus membimbangkan orang ramai khususnya penduduk daerah ini.

Penduduk Kampung Damat, Sandar Edan, 67, berkata, dia dan ahli keluarganya tidak mengetahui mengenai jangkitan itu, namun mendakwa melihat kenderaan dinaiki kakitangan KKM yang menjalankan pemeriksaan di rumah di kampungnya dua hari lalu.

“Kami ada membaca laman sesawang KKM yang mengeluarkan kenyataan mengenai seorang bayi dijangkiti virus polio di Tuaran, namun lokasi kampung mangsa tidak dinyatakan dan kami tidak tahu sama ada ia berlaku di sini atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, kehadiran kakitangan KKM menjalankan pemeriksaan dan tinjauan di sini menimbulkan persoalan penduduk mengenai masalah kesihatan yang berlaku,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Sandar yang juga bekas pesara kerajaan turut mengakui, kampung yang didiami lebih 300 penduduk itu turut dihuni segelintir penduduk bukan tempatan sejak 1990-an.

“Ada (penduduk luar) yang berkahwin dengan penduduk tempatan serta bekerja sehingga mendirikan rumah di sini, namun lokasi mereka berkelompok dan menyebabkan tidak semua penduduk mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya lagi, jika jangkitan virus itu berlaku di kampung terbabit, diharap pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi mencegah jangkitan terbabit.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati segelintir penduduk tidak mengetahui jangkitan virus polio berlaku di sekitar kampung mereka seperti yang dilaporkan media berlaku di Tuaran.

Malah ada sebahagian penduduk mendakwa tidak tahu rumah atau keluarga yang terkena jangkitan terbabit.

Seorang penduduk yang enggan dikenali mengakui kakitangan KKM ada membuat pemeriksaan di rumah mereka dan mengambil sampel najis penghuni.

“Mereka (kakitangan KKM) ada datang ke rumah penduduk dan semua pun diambil sampel najis.

“Tetapi, saya tidak tahu apa-apa dan tidak kenal pada keluarga kanak-kanak itu,” katanya sambil enggan melayan media yang datang membuat tinjauan.

Harian Metro

1876