“Gemuk Pun Seksi Kalau Ada Kuasa”

KOTA KINABALU: Tidak kira bagaimana rupa paras anda sama ada kacak, cantik, tinggi, rendah atau buncit sekali pun, anda akan kelihatan seksi di mata pihak tertentu jika mempunyai kuasa.

Itulah tarikan daripada ‘power is sexy’ atau kuasa itu seksi yang disampaikan dalam amanat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Negeri Sabah 2019 hari ini.

Tegas beliau, jika seseorang pegawai kerajaan terbuai dalam suasana ‘power is sexy’, maka individu tersebut mudah terpengaruh dengan gejala rasuah daripada pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan.

Berikutan itu, beliau mengingatkan kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan di Sabah agar tidak terjebak dengan gejala rasuah serta perlu bertanggungjawab jika mereka ditahan pihak berkuasa kerana amalan berkenaan.

“Inilah yang dikatakan ‘power is sexy’ dan kita kena hindari diri kita daripada perkara rasuah.

“Orang akan rapat kepada anda bukan kerana rupa anda tetapi kuasa yang ada kerana itu saya katakan power is sexy,” katanya.

Sempena program itu, beliau turut mengumumkan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gred 54 dan 44 akan ditempatkan di Jabatan Ketua Menteri bagi menangani gejala rasuah.

Penempatan tersebut menjadikan Sabah negeri pertama menyahut seruan SPRM untuk menempatkan pegawai di jabatan berkenaan dalam usaha membanteras aktiviti rasuah.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *