Sabah Serius Perangi Rasuah Tempatkan Dua Pegawai SPRM Di Pejabat Ketua Menteri & SKN

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 9 Dis: Kerajaan Negeri Sabah serius dalam memerangi rasuah dengan menempatkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Ketua Menteri (KM) dan Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

Ia membabitkan penempatan Pegawai SPRM Gred N54 di Pejabat KM dan Pegawai Gred N44 di Unit Integriti Negeri Sabah Pejabat SKN.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampai surat penempatan itu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM  Latheefa Koya pada Program Bicara Integriti dan Antirasuah Bersama Kerajaan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas program itu, Mohd Shafie berkata penempatan dua pegawai SPRM itu yang berstatus kontrak akan dilakukan serta merta.

Katanya kerajaan negeri meluluskan jawatan secara kontrak untuk penempatan dua pegawai SPRM dan akan disusuli dengan pembantu-pembantu yang lain.

“Gred jawatan skala tinggi ditempatkan kerana kita tahu ia memerlukan pegawai yang ada keupayaan  bukan hanya dalam pengurusan membanteras kegiatan tidak sihat tetapi memastikan pencegahan pada masa panjang,” katanya.

Mohd Shafie berkata selepas ini penempatan pegawai SPRM akan dilakukan di jabatan kerajaan negeri yang lain berasaskan keutamaan iaitu kawasan panas yang terdedah dengan amalan tidak sihat.

Dalam pada itu, Latheefa berkata kerajaan negeri Sabah merupakan kerajaan negeri yang memberikan komitmen yang serius dalam memerangi rasuah menerusi penempatan pegawai SPRM dan negeri pertama melancarkan Pelan Antirasuah organisasi Jabatan Ketua Menteri.

Katanya sebelum ini memang ada pegawai integriti di peringat negeri di seluruh negara.

“Apa dilakukan oleh Sabah bukan hanya di peringkat negeri tetapi di Pejabat KM sebagai satu cara pencegahan dan memastikan apa-apa urusan kerajaan negeri di peringkat atas mematuhi prosedur,” katanya.

Latheefa berkata penempatan pegawai SPRM itu membuktikan manifestasi Kerajaan Negeri Sabah serius melaksanakan kempen membanteras rasuah selepas melancarkan pelan antirasuah organisasi JKM sebelum ini.

Katanya ia menunjukkan Pelan Antirasuah Nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah dokumen yang bermakna.

Menurutnya pelan antirasuah Sabah itu akan dijadikan motivasi kepada negeri lain untuk menunjukkan komitmen mereka untuk lebih telus.

BERNAMA

673