Lelaki Maut Kereta Dipandu Terbabas Sendiri

Mayat mangsa ditutup bersebelahan dengan kenderaannya yang terbalik selepas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

PAPAR: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sendiri dalam kemalangan di Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu dekat sini.

Mangsa yang berumur dalam lingkungan 20-an itu dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mayat mangsa ditutup bersebelahan dengan kenderaannya yang terbalik selepas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, selepas terbabas sendiri, kenderaan mangsa melanggar penghadang besi sebelum bergesel dengan sebuah lagi kenderaan.

“Mangsa dipercayai memandu dengan laju dan berada di laluan bertentangan untuk memotong kenderaan lain.

“Siasatan turut mendapati mangsa masuk semula ke laluan asal selepas memotong kenderaan lain yang mengakibatkan kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Berdasarkan keterangan lisan saksi awam di tempat kejadian, mangsa merangkak keluar dari kenderaannya dan terbaring di jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, sebaik ambulans tiba, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Klinik Kesihatan Kinarut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *