Terserah Kepada BERSATU Sabah Jika Ingin Letak Calon Di Kimanis – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 8 Dis: Terserah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah jika parti itu mempunyai keinginan untuk meletakkan calon mereka bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis nanti, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah, berkata sesiapa sahaja boleh meletakkan calon dan bertanding pada pilihan raya itu, bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah calon dipilih mampu memberi kemenangan kepada parti.

“Itu terserah dengan mereka (Bersatu Sabah). Bertanding, boleh bertanding, tetapi apa yang penting siapa boleh menang. Tidak ada ertinya bila kita letak seseorang atau parti… yang penting kepada kita (calon) bagi kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Regatta Lami Lami 2019 di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin Bersatu Sabah yang berhasrat meletakkan calon parti itu bagi PRK Kimanis sekali gus berharap pimpinan Pakatan Harapan (PH) pusat dapat mempertimbangkan perkara itu.

Mohd Shafie berkata beliau telah meminta Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew, yang juga Pengerusi PKR Sabah, mempengerusikan mesyuarat berkaitan bersama Bersatu Sabah selain akan membincangkan perkara berbangkit dengan beliau.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataannya hari ini berkata Kimanis adalah antara bahagian Bersatu yang paling aktif di Sabah dengan pelbagai program “outreach” telah dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian itu sejak Bersatu bertapak di negeri ini.

Beliau berkata, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor juga menzahirkan hasrat dan keputusan badan itu kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu dalam pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ronald berkata, Bersatu Sabah tetap akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan PH Pusat.

Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei tahun lepas.

BERNAMA

2047