Penduduk Diminta Pastikan Pulau Gaya Bebas Sampah – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 8 Dis: Penduduk Pulau Gaya, dekat sini, digesa supaya memastikan pulau itu sentiasa dalam keadaan bersih serta bebas daripada sampah sarap, dengan menampilkan sistem pengurusan sampah yang baik.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pengurusan sampah di pulau itu perlu dilaksanakan dengan baik bukan hanya untuk memastikan penduduk boleh hidup dalam keadaan selesa, tetapi juga demi menjamin kebersihan dan kesihatan mereka.

“Saya mahu penduduk kampung di sini membudayakan amalan membuang sampah di tong sampah yang disediakan dan bukannya membuang sampah di laut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Regatta Lami Lami 2019 di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Regatta Lami Lami yang buat julung kalinya diadakan di pulau itu telah berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lepas.

Pulau Gaya dengan keluasan 1,456 hektar terletak kira-kira 10 minit perjalanan menaiki bot dari pusat bandar Kota Kinabalu, mempunyai enam kampung dengan kepadatan sekitar 15,000 penduduk.

Mohd Shafie seterusnya berkata beliau optimis dengan pengurusan sampah yang sistematik, selain memastikan Pulau Gaya sentiasa berada dalam keadaan bersih, ia pastinya mampu menarik kehadiran pelancong kerana pulau itu turut mempunyai pelbagai tempat indah dan unik untuk dikunjungi.

“Pulau Gaya mempunyai potensi baik untuk dibangunkan dan kerajaan negeri sememangnya ada perancangan untuk Pulau Gaya, termasuk membina kereta kabel dari Kota Kinabalu ke sini,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut meluluskan peruntukan RM500,000 bagi membina dewan masyarakat di Pulau Gaya untuk kegunaan penduduk setempat.

BERNAMA

789