Kemalangan: Mahu Kebumi 3 Beranak Di Christchurch

Pihak berkuasa membantu kesemua mangsa dalam kemalangan.

“Kami masih menunggu berita daripada pihak sana mengenai keadaan sebenar,” kata Othman Abd Hamid, abang sulung kepada Dr Rumihati Abd Hamid yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kaikoura, New Zealand, semalam.

Othman yang juga pesara RTM berkata, dia bersama beberapa ahli keluarga kini di Kuala Lumpur dan akan berlepas ke New Zealand, malam ini.

Menurutnya, arwah adiknya adalah pakar perubatan di Klinik Kesihatan Putatan bercuti ke New Zealand sejak 2 Disember lalu bersama suami, Adanan @ Adnan Jeman, 49, dan anak-anak mereka.

Bagaimanapun, kereta disewa mereka terbabit kemalangan yang mengorbankan Dr Rumihati, Adanan dan seorang lagi anak pasangan itu.

Mengenai keadaan tiga anak perempuan adik bongsunya itu, Othman yang masih menunggu panggilan daripada pihak berkuasa New Zealand berkata, masih belum pasti dengan situasi terkini mereka.

“Kami tidak pasti keadaan salah seorang anaknya dan masih menunggu. Kami pun bingung dan hanya menunggu untuk tiba di Christchurch saja,” katanya yang memberitahu keluarga bersetuju untuk Dr Rumihati dan suaminya dikebumikan di Christchurch.

Othman berkata, keluarga tidak masalah untuk membenarkan jenazah dikebumikan di negara itu kerana Dr Rumihati pernah memberitahu mahu melawat masjid di Christchurch yang menjadi sasaran pengganas pada Mac lalu.

“Sebab itu kami setuju agar mereka dikebumikan di sana kerana mereka tidak sempat melawat kawasan itu. Jadi kami akan merayu agar mereka dikebumikan di sana,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *