Suami Isteri Berasal Dari Sabah Antara 3 Maut Kemalangan Di New Zealand

Kesesakan lalu lintas berlaku berikutan kemalangan yang melibatkan lima rakyat Malaysia di New Zealand.

KOTA KINABALU: Percutian lima sekeluarga dari Sabah ke New Zealand berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan di jalan raya Kaikoura semalam.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi waktu tempatan itu, kereta dinaiki semua mangsa  bertembung dengan sebuah trak dari arah bertentangan.

Pihak berkuasa membantu kesemua mangsa dalam kemalangan.

Mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri iaitu, Adnan Jeman yang bekerja di Yayasan dan isterinya, Dr. Rumihati Abd. Hamid, pakar perubatan di Klinik Kesihatan Putatan serta seorang anak mereka.

Dua anak pasangan berkenaan yang turut berada di dalam kenderaan parah, bagaimanapun identiti mereka belum dikenal pasti.

Lokasi kemalangan di jalan raya Kaikoura melalui Google Maps.

Sementara itu, portal berita Kiwi, www.stuff.co.nz melaporkan, salah seorang mangsa yang parah terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter ke Hospital Wellington manakala seorang lagi diterbangkan ke Hospital Christchurh untuk mendapat rawatan segera.

Menurut portal berkenaan, mangsa di Hospital Wellington berada dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi masih belum diketahui situasinya.

Difahamkan, lapan ahli keluarga mangsa akan terbang dari Kota Kinabalu ke Wellington dan Christchurch malam ini bagi menguruskan kesemua mangsa.

Sementara itu, Ketua Peronda Lebuh Raya Tasman, Grant Anfrews seperti dilaporkan portal itu menyifatkan kemalangan berkenaan sebagai satu tragedi yang dahsyat.

“Dua kru bomba Kaikoura terpaksa menggunakan peralatan memotong kenderaan untuk mengeluarkan penumpang dari dalam kereta,” katanya.

Katanya, siasatan tentang punca kemalangan masih dijalankan.

BorneoToday

11214